Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan kejayaan Yayasan Islam Perlis (YIPs) memperoleh RM9 juta hasil penjualan saham kepada Kumpulan Perubatan Johor Sendirian Berhad (KPJSB).
YIPs sebelum ini memegang 40 peratus saham dalam Perlis Specialist Hospital Sdn Bhd manakala 60 peratus saham lagi dipegang oleh KPJSB.
Beliau yang juga Pengerusi YIPs berkata dana RM9 juta tersebut akan digunakan bagi mengukuhkan operasi yayasan disamping membuka peluang untuk pelaburan yang lebih menguntungkan.
“Tandatangan ini adalah untuk kita jual syer dengan KPJ dan kita dapat duit tunai untuk membantu operasi yayasan. Sekarang ini yayasan mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menjalankan operasi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Saham Perlis Specialist Hospital Sdn Bhd Di Antara YIPs dan KPJSB yang diadakan di Bilik Gerakan 1, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar.
“Saya ingat mereka akan membuat pelaburan yang menguntungkan dengan modal yang ada lebih kurang RM9 juta,” tambah beliau.
YIPs sebelum ini telah menyediakan tanah seluas 4.33 ekar di Seriab yang hasilnya kini tersergam sebuah hospital yang dikenali sebagai Hospital Pakar KPJ Perlis yang menyediakan perkhidmatan kepakaran perubatan.
YIPs mengambil keputusan untuk melepaskan pegangan sahamnya kepada KPJSB selepas menilai situasi semasa operasi hospital yang semakin memberangsangkan disamping tanggungjawab YIPs yang telah disempurnakan.
Dalam pada itu, YIPs juga sedang menilai potensi pelaburan dan kerjasama baharu dalam sektor kewangan dan hartanah disamping mengukuhkan aliran tunai semasa.