Program Dapur Rakyat yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Padang Besar, YB Rushdan Rusmi, telah berjaya menghimpunkan seramai 300 orang secara kumulatif dalam program yang berlangsung pada Ahad lepas.
Program ini bertujuan untuk mendekati rakyat secara langsung di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam satu hari, iaitu Dun Titi Tinggi, Dun Chuping, dan Dun Mata Ayer.
Program ini bermula pada jam 10 pagi di Dun Titi Tinggi, yang diadakan di Batu 16, di Dun Chuping pada jam 12 tengah hari, bertempat di Surau Cikgu Ali dan akhir sekali di Dun Mata Ayer pada jam 9 malam, diadakan di Kampung Perawah.
Selain kenduri rakyat, YB Rushdan Rusmi juga mengambil kesempatan untuk mengadakan sesi dialog dua hala bersama rakyat bagi mendengar pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung dan pada masa yang sama menyalurkan maklumat penting dari peringkat parlimen.
Dialog ini diharap dapat membina hubungan yang lebih erat antara pemimpin dan rakyat serta memastikan kebajikan penduduk setempat terjaga.
Menurut Rushdan Rusmi, beliau berhasrat untuk terus giat mengadakan program seperti ini di kampung-kampung lain dalam Parlimen Padang Besar pada masa akan datang.
Beliau menyatakan komitmennya untuk sentiasa mendekati rakyat dan prihatin tentang permasalahan yang dihadapi oleh penduduk di kawasannya.