Banjaran Nakawan merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia sepanjang 36 kilometer (km) yang terbentuk daripada batu kapur formasi ‘Setul’ yang berusia lebih 480 juta tahun.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli semasa ucapan beliau dalam Majlis Perasmian Nakawan Rainforest Festival di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Perlis.
“Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis disambut lewat kerana cuaca panas dan kering, membawa konsep Nakawan Rainforest Festival bersempena nama banjaran Nakawan”, ujar beliau.
“Pemilihan nama Nakawan amat signifikan kerana ia merupakan komponen terpenting bagi Perlis Geopark yang telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan.
Kata beliau lagi, sebahagian besar geotapak berada di banjaran Nakawan seperti Geotapak Bukit Ayer, Gua Kelam dan Taman Negeri Perlis, maka aspek kesedaran tentang usaha pemeliharaan ini perlu digiatkan melalui kempen kesedaran dan pelbagai lagi.
“Pelbagai aktiviti sempena festival ini telah dilaksanakan seperti Kem Biodiversiti, denai interpretasi, Persembahan Malam Nakawan Rainforest Festival, Dueter Camp & Hike dan pelbagai pertandingan melibatkan orang awam.
Pada majlis itu, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan acara penanaman pokok spesies Merbau (Instia palembanica) sambil disaksikan Raja Puan Muda,Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen.