Sekolah Menengah Kebangsaan Arau yang terletak di Bandar Diraja Arau hari ini diisytiharkan sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein.
Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada pagi tadi sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke 81 DYMM Tuanku Raja Perlis.
Nama baharu sekolah tersebut diambil sempena nama Raja Perlis Pertama iaitu Raja Syed Hussein Jamalullail yang berjasa besar merintis jalan penyelesaian kepada konflik peperangan Siam-Kedah suatu ketika dahulu.
Baginda menjadi Raja Perlis pada tahun 1843 sehingga mangkat pada tahun 1873 dan digantikan oleh Raja Syed Ahmad Jamalullail.
Turut berangkat hadir ke majlis tersebut ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli dan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.
SMK Arau pada awalnya ditubuhkan pada 1 Disember 1990 dengan menumpang di bangunan SK Tengku Budriah, Arau sebelum berpindah ke bangunan barunya yang terletak berhampiran Jalan Changlun-Kuala Perlis pada 1 Disember 1994.