Sekitar 8000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Aidilfitri Bersama Ahli Parlimen & ADUN Kawasan Padang Besar di Dewan Bukit Keteri, semalam.
Orang ramai mula memenuhi dewan tersebut seawal 10.30 pagi bagi menikmati pelbagai jenis juadah yang disediakan oleh 6 gerai mewakili setiap wakil rakyat tersebut.
Majlis anjuran bersama Ahli Parlimen Padang Besar serta kesemua lima ADUN tersebut turut menerima kunjungan Dato’ Seri Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau merangkap mantan Menteri Besar Perlis serta Ahli Parlimen Kangar dan barisan ADUN Perlis.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengunjung terutama warga Padang Besar yang hadir memeriahkan majlis ini serta kepada seluruh jentera petugas yang mula memerah keringat sejak 2-3 hari lalu”, kata YB Rushdan Rusmi, Ahli Parlimen Padang Besar.
Dalam pada itu, ADUN Chuping, YB Saad Seman turut merakamkan penghargaan kepada tetamu yang hadir termasuk dari luar kawasan Padang Besar.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian duit raya oleh Ahli Parlimen dan barisan ADUN Padang Besar kepada kanak-kanak yang hadir.