“Saya akan bincang dengan Ahli EXCO dan Penasiat Undang-Undang untuk melihat kesesuaian meletakkan seorang Pegawai SPRM sebagai Unit Integriti dalam pejabat saya untuk memastikan urus tadbir berlaku dengan bersih”
Demikian ulasan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengenai penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau.
Media sebelum ini melaporkan beliau dipanggil ke SPRM Putrajaya pada Selasa lepas untuk membantu siasatan kes membabitkan enam individu dari Perlis.
Katanya, penyiasatan ini akan membuatkan beliau lebih berdisiplin dan untuk membersihkan pentadbirannya (daripada rasuah) disamping memperbaiki kelemahan yang ada.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan terus memberi fokus untuk menguruskan negeri berbanding melayan desakan kepadanya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri besar.
“Dalam parti dan dalam pentadbiran saya tiada desakan untuk saya meletakkan jawatan. Cuma ada dalam media sosial,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.