Umum mengetahui mangga harumanis merupakah salah salah satu buah-buahan tempatan yang hanya boleh didapati di Negeri Perlis.
Ia juga telah diangkat menjadi salah satu ikon Negeri Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang dilancarkan oleh Tuanku Raja Muda Perlis, pada Disember lalu.
Namun begitu, setiap kali musim harumanis yang berlaku sekitar April hingga Jun setiap tahun, pasti akan timbul isu harganya yang dikatakan terlalu mahal.
Kami menemui salah seorang pengusaha mangga harumanis, Saudara Mustaqim Abdullah yang mewarisi perniagaan Perusahaan Abdullah Sekeluarga dari bapa beliau Haji Abdullah di Santan, bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu ini.
“Harumanis merupakan sejenis buah yang sangat manja dan memerlukan penjagaan yang intensif untuk memastikan hasil buah yang premium, sesuai dengan namanya, harum dan manis,” katanya.
Mangga harumanis mempunyai nutrisi yang kaya dengan Vitamin A, Vitamin C, Zat Besi, Kalsium, Potasium, serta tinggi kandungan serat.
Penjagaan harumanis menelan kos sekitar RM 200 bagi setiap pokok pada setiap musim untuk proses pembajaan, semburan vitamin dan racun kerana ia sangat mudah terkena serangan serangga perosak.
“Ia tidak termasuk kos penjagaan lain seperti proses membalut buah, proses penjagaan pokok pra-musim dan pasca-musim”
“Setiap kali habis musim buah, proses ‘pruning’ pokok perlu dibuat bagi menjamin kualiti buah yang bakal dihasilkan pada musim hadapan,” katanya lagi.
Tambah beliau, proses menghasilkan buah berkualiti juga melibatkan penjagaan kebun yang perlu diselenggara secara berkala.
“Kalau kita pos, memang kita akan pilih buah yang betul-betul elok bagi mengelakkan isu buah rosak. Kalau teringin nak dapatkan buah gred lebih rendah dengan harga yang lebih murah, boleh datang sendiri ke Perlis sempena Tahun Melawat Perlis tahun ini dan rasa sendiri kelazatannya yang begi mengasyikkan”