Saturday, 22 March, 2025
HomeUmumBAJET MADU TIGA : KETUA KELUARGA SAKIT KEPALA

BAJET MADU TIGA : KETUA KELUARGA SAKIT KEPALA

Tanggal 12 Mac 2024, seluruh umat Islam kembali bertemu bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan. Uniknya tahun ini, Ramadan bermula selang sehari atau dua selepas pembukaan tahun baru persekolahan 2024. Dan sebulan selepas itu, umat Islam akan menyambut hari kemenangan, iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Melihat kepada pertembungan perbelanjaan tiga serangkai yang meliputi musim awal musim persekolahan, seterusnya menyambut Ramadan sehinggalah ke syawal yang bakal diraikan sebulan berikutnya, ketiga-tiga senario ini sudah pastinya memerlukan pengurusan kewangan yang lebih teliti supaya sumber kewangan yang ada dapat diuruskan dengan baik serta mengikut prinsip keutamaan dalam Islam.

Persoalannya, bagaimana kita merancang dan melaksanakan bajet kewangan secara berkesan untuk memastikan keseimbangan antara tuntutan pendidikan anak-anak, persiapan juadah berbuka sepanjang Ramadan, dan persediaan menyambut Aidilfitri?

Formula S.A.H.U.R. akan dapat membimbing anda dalam membuat keputusan bajet tiga (3) serangkai yang bijak dan berhemah seperti berikut:

  1. Susun Keutamaan Perbelanjaan

Berpandukan prinsip keutamaan dalam Islam, sebaik-baiknya ketiga-tiga bajet perbelanjaan ini disusun mengikut penilaian yang jujur dan teliti antara keperluan dan kehendak. Gunakan fikiran rasional kita untuk mendahulukan keperluan berbanding dengan perasaan emosional yang mengutamakan kehendak.

Contohnya, anda pastinya akan mementingkan dan mendahulukan perbelanjaan persekolahan anak-anak kerana ianya adalah keperluan utama bajet isi rumah pada ketika ini.

Di sinilah titik mulanya kejayaan atau kegagalan dalam pengurusan kewangan itu diukur melalui penilaian rasional mengatasi penilaian emosional kita.

 

  1. Adakan Perbincangan Harmoni Keluarga

Satu lagi elemen yang mempengaruhi kejayaan dalam pengurusan kewangan ialah kebersamaan. Sebagai manusia, kita mudah terdorong oleh keadaan sekeliling atau kebiasaan setempat.

Oleh itu, satu kaedah untuk mengekalkan disiplin perbelanjaan yang sihat dalam keluarga ialah perbincangan bersama tentang apa yang patut dibelanjakan. Dengan persefahaman dalam keluarga tentang hala tuju perbelanjaan, tidak adalah sketsa anak-anak meminta itu dan ini yang akhirnya dilayankan juga sehingga terlebih berbelanja semasa shopping raya termasuklah permintaan untuk dibelikan bunga api dan mercun.

 

  1. Hadkan Perbelanjaan

Setelah jelas perbelanjaan apa yang patut didahulukan, langkah seterusnya adalah mengehadkan setiap pebelanjaan mengikut bajet yang realistik untuk persekolahan seperti pembelian alatan, pakaian seragam, dan kelengkapan lain, tidak termasuk perbelanjaan wajib seperti yuran.

Tetapkan juga had perbelanjaan untuk juadah berbuka, lebih-lebih lagi pembelian di bazar Ramadan. Begitu juga dengan perbelanjaan hari raya, hadkan peruntukan untuk baju raya, juadah dan kuihmuih, serta dekorasi rumah dan duit raya.

Tujuan mengehadkan perbelanjaan-perbelanjaan ini adalah untuk memastikan perbelanjaan dan komitmen tetap setiap bulan tidak terjejas seperti bil-bil utiliti dan bayaran ansuran bulanan.

 

  1. Urus Hutang

Permohonan pinjaman dikatakan meningkat dengan ketara pada Januari 2024, iaitu sebanyak 40 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023. Menurut penganalisis, terdapat kemungkinan keperluan modal bagi menyambut musim perayaan yang bakal tiba mendorong peminjam yang berpotensi membuat pinjaman.

 (Sumber daripada artikel Berita Harian berkenaan kaji selidik oleh Kenangan Research: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1218439/permohonan-pinjamanmeningkat-tinggi-menjelang-bulan-puasa-raya)

Perlu diketahui, antara amalan pengurusan kewangan yang bijak untuk musim perayaan adalah mengelak daripada membuat hutang baru. Prinsipnya mudah: kepuasan jangka pendek tidak seharusnya didanai oleh hutang yang akan melibatkan komitmen kewangan jangka panjang.

Kalau pun perlu berhutang, pastikan hutang baru ini boleh dibayar semuanya sebelum tarikh akhir, atau tidak menaikkan jumlah ansuran bulanan anda melebihi 40% daripada gaji atau pendapatan bersih.

 

  1. Rancang Perbelanjaan

Akhir sekali ialah masa untuk menjadi tamu di kedai-kedai, arked-arked dan pusat-pusat membeli belah mahupun kedai atas talian untuk ‘berburu’.

Amalkan perbelanjaan yang bijak seperti membuat perbandingan harga di beberapa tempat, dan membeli atau menempah barangan atau tempahan lebih awal atau mengambil peluang waktu promosi untuk harga yang lebih murah.

Gunakan juga sebarang insentif dan bantuan seperti bantuan awal persekolahan yang telah diberikan oleh kerajaan dengan sebaik mungkin untuk tujuan pembelajaran dan persekolahan.

Selain itu, kita juga perlu bijak merancang perjalanan untuk menjimatkan kos. Susun jadual perjalanan balik kampung bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Pastikan juga kenderaan diselengara dengan baik sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kos tambahan membaik pulih kenderaan.

Manfaatkan juga waktu perjalanan dengan tol percuma yang kebiasaanya diumumkan Kerajaan semasa sambutan perayaan-perayaan besar seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tip Tambahan

Pendekatan lain untuk menampung perbelanjaan adalah menambah sumber kewangan sedia ada. Anda boleh mencari pendapatan tambahan sebelum tiba musim perayaan dengan menjual barangan terpakai, menyediakan perkhidmatan, atau mencari pekerjaan sambilan. Anda boleh menjadi ejen menjual biskut dan pakaian raya.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments