Golongan asnaf dan B40 dalam DUN Guar Sanji dapat menarik nafas lega selepas lebih 450 orang daripada mereka telah menerima sumbangan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
ADUN Guar Sanji, YB Mohd Ridzuan Hashim dengan kerjasama PKWR DUN Guar Sanji telah mengadakan program Sumbangan Kasih Ramadan Sinar Aidilfitri DUN Guar Sanji pada 29, 30 dan 31 Mac yang lalu.
Program sumbangan membabitkan hampir semua asnaf dari 25 buah kampung sekitar Guar Sanji tersebut dilaksanakan di Markaz PAS Semut Gatal.
YB Mohd Ridzuan hadir sendiri menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penerima dengan disertai kehadiran daripada Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) masing-masing.
Selain itu, pihak Tabung Haji turut mengambil peluang membuka kaunter untuk memudahkan urusan orang kampung berkenaan urusan simpanan dan daftar haji.