“Sebagai anak muda saya sangat faham kepayahan anak muda sekarang nak cari rezeki yang halal untuk sara anak isteri”
Demikian kata YB Haziq Asyraf, ADUN Beseri ketika dihubungi pihak kami selepas menerima rakaman beliau memberi sumbangan kepada ‘Abang Katak’, seorang lelaki yang memakai kostum Katak Hijau.
Peristiwa tersebut berlaku usai program Street Dakwah anjuran pihaknya pada 18 Mac lalu di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar.
Usai mereka mendirikan Solat Maghrib secara berjemaah, Abang Katak tersebut datang menghampiri YAB Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang turut meluangkan masa bersama program tersebut.
Dia sempat bergurau mesra dan berpeluang mengambil gambar bersama MB Perlis.
“Saya nampak kesungguhan dia mencari rezeki dalam bulan Ramadan ini. Orang lain baru selesai berbuka puasa dia sudah mula mencari rezeki,” ujar beliau lagi.
Tambah beliau, bulan Ramadan sepatutnya menjadikan kita lebih ringan untuk berkongsi rezeki terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Jika semua orang amalkan perkara seperti ini, insya-Allah negeri Perlis akan menjadi negeri yang dihujani berkat dari Allah,” katanya lagi.