Sunday, 16 March, 2025
HomePelaburan'KANGAR FAST TRACK' INISIATIF MEMPERCEPAT PEMBANGUNAN CVIA

‘KANGAR FAST TRACK’ INISIATIF MEMPERCEPAT PEMBANGUNAN CVIA

‘Kangar Fast Track’ merupakan hasil inisiatif kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dalam memastikan segala proses kelulusan berkaitan pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dilaksanakan secara pantas dan efisien.

“Pelaksanaan inisiatif ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Perlis untuk memudah cara dan meningkatkan kecekapan proses kelulusan serta pentadbiran di peringkat pihak berkuasa tempatan,” ujar YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Mohd Shukri Ramli.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pertukaran Memorandum Kerjasama Antara NCIA dan MPK selepas mempengerusikan Majlis Jawatankuasa Pemandu Negeri Perlis baru-baru ini.

Kata beliau lagi, Kangar Fast Track akan menggabungkan proses yang bermula daripada peringkat cadangan permulaan projek, kelulusan pelan pembangunan, perakuan siap & pematuhan, pengeluaran lesen pengoperasian sehinggalah permit untuk menjalankan perniagaan.

Menurut Ketua Eksekutif NCIA, Encik Mohamad Haris Kader Sultan, pembangunan projek strategik CVIA berpotensi menarik pelaburan bernilai sehingga RM4.5 bilion dengan kemampuan menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan.

Bagi tahun 2023, CVIA berjaya menarik minat pelaburan RM100 juta bagi pembinaan kilang oleh Syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

Sementara itu, semasa Majlis Jawatankuasa Pemandu Negeri Perlis, NCIA telah memudah cara bernilai RM1.5 bilion pelaburan dan lebih 800 peluang pekerjaan di Perlis pada 2023.

Program pembangunan bakat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berteraskan rakyat NCIA di Perlis juga telah memberi manfaat kepada lebih 5,295 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sejak dilaksanakan pada 2019 dengan jumlah pelaburan keseluruhan bernilai RM135.7 juta direkodkan serta mewujudkan lebih 975 peluang pekerjaan.

RELATED ARTICLES

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments