Bagi memacu kamajuan sukan Perlis serta menjulang nama negeri dan negara di persada antarabangsa, 4 teras telah disusun dalam Pelan Pembangunan Sukan Negeri Perlis 2022-2026.
4 teras tersebut merangkumi pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat, pemantapan pembangunan sukan secara berfokus dan pemerkasaan aplikasi sains sukan, penekanan pendidikan dan kebajikan atlet, serta pengukuhan kerjasama pemegang taruh dan pemasaran sukan.
Menurut EXCO Pembangunan Belia & Kemajuan Sukan, YB Zikri Afthar Ishak, pihaknya amat berharap agar Pelan Pembangunan Sukan Negeri ini dapat diadaptasi oleh semua pihak bagi memastikan kelangsungan bakat sukan di negeri Perlis.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2023 Dan Pelancaran Program Road To SUKMA Dan Para SUKMA 2024 Sarawak di Dewan Warisan, Kangar, di sini, semalam.
Semalam turut dilancarkan Kanvas Sokongan Rakyat Perlis sebagai inisiatif pihak kerajaan untuk membakar semangat kontinjen Perlis yang bakal beraksi dalam SUKMA kelak.
“Kanvas tersebut bakal digerakkan ke seluruh Perlis bagi mendapatkan seberapa banyak tandatangan rakyat Perlis dan akan digantung di asrama atlet MSNPs,” ujar beliau yang juga merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri.